Tun M, Anwar dan Annuar, PRU15 lebih awal….

OLEH ABI FATH

PEMECATAN Tan Sri Annuar Musa dari jawatan Setiausaha Agung BN berkuatkuasa hari ini membawa lembaran baharu yang bakal mempercepatkan proses Pilihan Raya Umum ke 15.

Kegoncangan dalam Umno dan BN tidak dapat diselindung lagi, apatah lagi suara dominan dalam kepimpinan Umno khasnya mahu bekerjasama dengan DAP dan Anwar Ibrahim.

Mereka sudah lupa sumpahan 22 bulan tentang kebejatan DAP juga PH semasa memerintah.

Mereka juga lupa dengan dayung Melayu Islam yang mereka momokkan khasnya semasa tiada kuasa.

Hari ini Umno hanya bicara soal jawatan, tidak lagi seperti sebelum ini yang mana kononnya mereka insaf.

Mahathir lawan Anwar

Umum tahu bahawa mereka berdua adalah seteru selamanya. Benar dan tiada sangkal lagi, walaupun sebelum ini semasa bersama dalam kerajaan PH selama 22 bulan, kononnya mereka boleh duduk semeja namun segalanya tidak mampu diselindung, lakonan mereka gagal bertahan hingga Februari 2020.

Tun Mahathir Mohamad acap kali telah memberi signal bahawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim bukan pilihannya, malah banyak kali dia membuka pekung bekas TPM itu hingga perang antara dua kem dalam PH tercetus.

Malah perang terbuka itu menyebabkan Tun Mahathir memilih untuk melepaskan jawatan Perdana Menteri hingga kerajaan PH terkubur.

Penulis melihat significant Tun Mahathir menolak Anwar saat Umno pula mahu bersama Anwar dan DAP.

Episod selepas ini lagi menarik.

Perseteruan antara mereka bukan rahsia, sejak sekian lama mereka bermusuh bukan sahaja semasa krisis 1998, tetapi semasa masing-masing masih dalam Umno lagi.

Kemuncak perperangan antara mereka adalah semasa skandal kes liwat yang menggemparkan negara pada 1998 hingga tercetus reformasi, hampir menjatuhkan kerajaan BN ketika itu.

Kemudian perang bersambung semasa kes liwat kedua dan secara konsistennya Tun Mahathir meletakkan pendirian bahawa Anwar didapati bersalah oleh mahkamah. Dalam satu wawancara dengan agensi berita luar negara, Mahathir mengulangi pendirian itu secara jujur walaupun ketika itu beliau telah bersama dengan pasukan Anwar membentuk Pakatan Harapan.

Antara mereka, perang bukan rahsia lagi, malah inilah yang menjadi titik bengik keruntuhan PH, bukan kerana tebuk atap atau rampasan kuasa.

Masakan PM boleh bertukar ganti tanpa ada insiden yang menyebabkan ia terpaksa diganti, andainya Tun Mahathir tidak melepaskan jawatan kerana hambatan dalam PH dan kerana kegilaan Anwar mahu menjadi PM, kerajaan PH tidak akan runtuh.

Mereka ada majoriti ketika itu, malah sebenarnya majoriti mereka besar, tetapi mereka tidak mampu menstabilkan kemelut dalaman mereka angkara perebutan jawatan, angkara permainan mahu berada di puncak kuasa dan ditambah dengan sikap pembuli DAP yang mahu menguasai pentadbiran dengan segala jenis keputusan mahu dikawal oleh mereka.

Benar perpecahan dan ketidaksefahaman boleh membawa kepada perpecahan sesebuah kerajaan. Insiden 22 bulan PH menerajui kerajaan sebelum ini harus sekali diambil iktibar oleh kerajaan PN hari ini.

Lihat sahaja bagaimana Anwar memainkan peranan acap kali memancing perhatian pihak tertentu untuk membentuk satu gabungan baharu bagi membina sebuah kerajaan.

Telah pun Anwar ke Istana Negara bagi membawa agenda itu walaupun akhirnya ‘numbers’ yang dikatakan wujud itu tidak dapat meyakinkan Istana.

Tetapi harus sekali diingat, perang merebut kuasa ini bisa membuat ramai yang ‘gelap mata’, apatah lagi masih ada yang belum sedar daripada pengajaran kejatuhan selama 22 bulan.

Usaha pujuk memujuk, disandar dengan kepentingan diri masih berjalan, dan tidak boleh dinafikan bahawa semua permainan di belakang masih berjalan aktif.

Namun apa pun ramai sudah tidak mempercayai agenda Anwar dalam merampas semula kerajaan.

Paling tidak percaya kepada usaha Anwar ini adalah Tun Mahathir di mana pada Khamis lalu bekas PM itu menyatakan beliau tidak akan percaya lagi dengan apa yang diperkatakan oleh Pengerusi Pakatan Harapan itu mempunyai jumlah majoriti.

Dalam ulasannya, Mahathir berkata, janji dibuat oleh Anwar bahawa beliau akan meletakkan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen sekiranya tidak mempunyai majoriti tidak boleh dipercayai.

“Kita hitung tengok, Anwar pernah janji dan tunaikan janji ke? Berapa kali dia (kata) dah nak bentuk kerajaan.

“Bila Tun Abdullah Ahmad Badawi menang sikit (pilihan raya umum) tahun 2008, semua dah pakai tali leher nak pergi angkat sumpah tapi tak jadi.

“Berkali kata ada majoriti tapi tak jadi. Kalau nak percaya lagi dengan apa dia kata itu masalah anda. Tapi saya tak akan percaya dengan apa yang diperkatakannya lagi,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan Amanat Perjuangan 2021 di sebuah hotel di sini pada Khamis.

Telahan ini bukan kali pertama, malah ia secara konsisten dikemuka Tun Mahathir kerana dia amat arif dengan permainan Anwar.

Malah tidak mustahil pun jika Anwar ada majoriti, tetapi Tun Mahathir boleh sahaja menghalang dengan kaedah yang selalu dia jalankan.

Masakan Tun Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah boleh duduk semeja sebelum sidang Parlimen semasa sidang Parlimen meluluskan Belanjawan 2021 yang menyaksikan pakatan pembangkang tewas.

2021 mungkin PRU-15 awal?

Pilihan Raya Umum ke 15 mungkin berlaku awal, walaupun dalam keadaan pandemik Covid-19 semakin serius.

Ia berikutan adanya desas-desus mengenai wujudnya usaha membentuk kerajaan dalam gabungan lain yang sedang diusahakan Anwar dengan beberapa pemimpin kerajaan dan pembangkang yang lain, cuma Tun Mahathir tidak bersama dalam koalisi ini.

Yang jelasnya signal daripada Mesyuarat Umno Bahagian yang sedang berlangsung ketika ini memberi gambaran suatu ‘keputusan’ segera perlu dibincang oleh kepimpinan parti yang bersama kerajaan hari ini demi mengembalikan semula kestabilan politik negara.

Walaupun selepas pembentangan Belanjawan 2021, dan ia lulus, tetapi usaha pihak tertentu menggugat kestabilan politik negara masih berterusan, malah dikatakan semakin agresif.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin hanya ada dua pilihan andai keadaan ini berlanjutan dan keadaan terancam, maka pilihan lebih mudah adalah mengemukakan cadangan membubar Parlimen, kemudian diadakan Pilihan Raya Umum agar rakyat dapat memilih semula kerajaan memerintah.

Opsyen kedua melepas jawatan adalah amat tidak praktikal buat beliau sebagai seorang ahli politik kerana ia umpama menyerahkan tengkuk kepada sang penggila kuasa.

Malahan akan dilihat lemah dalam mengurus krisis, seperti mana satu langkah silap yang dibuat Tun Mahathir semasa berdepan krisis dalaman pada Mac lalu.

Ia menyebabkan kerajaan bertukar tangan, sekali lagi bukan tebuk atap. Ia adalah kegagalan pemerintahan PH dalam mengekalkan kestabilan dan mengurus krisis.

Hal ini harus dipandang serius. Umno sendiri telah berulang kali menyatakan tentang pilihan paya walaupun persepsi rakyat kepada parti ini masih lagi banyak negatif, apatah lagi ketika mereka dilihat terlalu mahu mengubah pemerintahan yang ada hari ini.

Kesan 22 bulan jatuh belum menjadikan Umno benar-benar faham pedih jatuh dan diperintah pula oleh kelompok cauvanis yang tidak menghormati kontrak sosial yang telah tertakluk sekian lama di negara ini.

Maka opsyen pertama sahaja mampu menangani kemelut yang ada, walaupun. Sebenarnya ia boleh menyebabkan penularan pandemik Covid-19.

Pun begitu katanya SPR sendiri telah miliki pelbagai perancangan jika berdepan situasi ini andai parlimen dibubarkan.

Apa pun banyak penganalisis politik meramalkan PRU-15 tidak mampu ditanggung lagi andai desakan dan tekanan sentiasa dihadapi PM dari dalam dan luar.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: