Mahkamah tangguh keputusan rayuan wanita mahu diisytihar bukan Islam

Mahkamah Tinggi Shah Alam terkhilaf ketika menolak tindakan undang-undang seorang wanita berbapakan seorang Islam tetapi dibesarkan sebagai Buddha oleh ibunya, kata peguam Gopal Sri Ram.

Mahkamah Persekutuan hari ini mendengar rayuan Rosliza Ibrahim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam dan Mahkamah Rayuan yang tidak membenarkan dia diisytihar sebagai bukan Islam.

Gopal berkata anak guamnya tidak pernah menjadi Islam atau mengamalkan ajaran Islam.

Katanya, Mahkamah Tinggi terkhilaf dengan bergantung kepada kes Lina Joy, melibatkan seorang individu ingin keluar Islam.

Pada 30 Mei 2007, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Joy dan memutuskan status Islam pada kad pengenalannya dikekalkan dan hanya Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa mendengar isu orang Islam ingin meninggalkan agamanya.

Susulan penghujahan ringkas dua responden yang menyokong keputusan Mahkamah Tinggi, panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk menangguhkan keputusan hari ini.

Kerajaan Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menjadi responden dalam kes itu.

“Kami tangguhkan perkara ini pada suatu tarikh yang akan ditetapkan,” kata Ketua Hakim Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel itu.

Panel itu dianggotai oleh Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf, Ketua Hakim Malaya Azahar Mohamed, serta hakim Mahkamah Persekutuan P Nallini, Abdul Rahman Sebli, Zabariah Mohd Yusof, Hasnah Mohammed Hashim, Mary Lim Thiam Suan dan Rhodzariah Bujang.

Pada 25 April 2018, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Rosliza, 38, yang mahukan pengisytiharan bahawa dia dilahirkan sebagai anak luar nikah kepada bapa yang beragama Islam dan ibu yang beragama Buddha.

[Baca berita asal]

Pada 20 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Rosliza untuk mendapatkan kebenaran bagi merayu berhubung dua isu perundangan yang perlu diputuskan mahkamah.

Terdahulu, peguam Gopal Sri Ram, berhujah Mahkamah Tinggi Shah Alam terkhilaf apabila membuat keputusan dengan merujuk kes Lina Joy.

Beliau berkata kedua-dua Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Raya terkhilaf untuk menyatakan bahawa kes anak guamnya berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

“Kami mengemukakan bahawa ini bukan kes untuk meninggalkan agama tetapi sebaliknya seorang yang bukan beragama Islam serta tidak mengamalkan ajaran agama itu sejak awal lagi.

“Oleh itu, mahkamah rendah gagal mengkelaskan kes berkenaan seperti sepatutnya,” katanya.

Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, Salim Soib bertindak bagi kerajaan negeri Selangor dan peguam Abdul Rahim Sinwan mewakili Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), selaku responden pertama dan kedua.

Kedua-dua responden berhujah bahawa Mahkamah Syariah adalah kuorum yang tepat untuk menentukan sama ada perayu adalah seorang Islam atau sebaliknya.

Menurut mereka, Rosliza adalah seorang beragama Islam berdasarkan dokumen semasa mengemukakan permohonan kad pengenalan di Jabatan Pendaftaran Negara.

Bagaimanapun, Hakim Tengku Maimun beberapa kali meminta kepastian daripada Salim dan Abdul Rahim mengenai status agama anak yang dilahirkan luar nikah di mana bapanya adalah Islam dan ibu bukan Islam.

Hakim Tengku Maimun: Katakanlah lelaki Islam dan wanita Buddha itu bersekedudukan dan lahir anak dari perhubungan itu. Adakah anak itu anak yang sah?

Abdul Rahim: Sekiranya mereka tidak berkahwin dan tiada bukti mereka berkahwin, maka anak itu tidak sah.

Hakim Tengku Maimun: Jika anak itu tidak sah, adakah anak itu mengikut agama ayahnya atau ibunya?

Abdul Rahim: Jika anak itu lahir tidak sah, agama anak itu mengikut ibunya.

Hakim Tengku Maimun: Jawapan itu adalah jelas mengikut prinsip-prinsip Islam?

Abdul Rahim: Betul

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: