ADGMIN ADGSOM: Ruang Terbaik Bincang Hala Tuju Pemerkasaan Telekomunikasi

Tidak perlu diperjelaskan, kita sedia maklum tahun 2020 adalah tahun yang memberi pengajaran berharga kepada umat manusia dan kerajaan di setiap negara untuk sentiasa bersedia apa sahaja kemungkinan terutama dalam menghadapi pandemik seperti COVID-19.

Oleh itu, selain usaha berterusan mempertingkat dan memperkaya capaian sistem kesihatan di negara masing-masing, usaha pemerkasaan sistem telekomunikasi perlu juga diambil perhatian serius oleh setiap kerajaan.  

Ini kerana kerjasama di antara kerajaan ke kerajaan (G2G) adalah amat diperlukan terutama dalam berkongsi data-data berkaitan perkembangan semasa COVID-19 di negara masing-masing bagi membolehkan usaha memerangi pandemik ini berjaya.

Justeru, apa pula persediaan Malaysia serta negara-negara di peringkat ASEAN dalam menguruskan isu-isu global rentas sempadan antaranya pembangunan ekosistem digital dan pemantapan jalinan kerjasama dalam kalangan negara terbabit bagi menghadapi tahun 2021 yang dijamin pastinya amat mencabar?

Setiausaha Bahagian Antarabangsa Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Mano Verabathran menjelaskan, kerajaan Malaysia menerusi KKMM telah mengambil langkah proaktif bagi menangani isu terkait pembangunan telekomunikasi dengan menjadi hos pertama bagi Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN Yang Pertama (ADGMIN1) dan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Digital ASEAN (ADGSOM).

Mesyuarat ADGSOM dan ADGMIN adalah mesyuarat peringkat dasar bagi sektor ICT di peringkat ASEAN yang mana ia perlu diadakan dalam usaha mendepani cabaran isu global melibatkan rentas sempadan di negara-negara ASEAN antaranya pembangunan rangkaian 5G.

“ADGMIN1 yang akan diadakan pada 21-22 Jan, 2021 ini adalah satu mesyuarat tahunan para menteri ASEAN yang bertanggungjawab bagi teknologi maklumat dan telekomunikasi untuk membincangkan isu semasa dan trend serta hala tuju agenda Pembangunan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) ASEAN.

“Mesyuarat itu akan dipengerusikan oleh menteri KKMM Datuk Saifuddin Abdullah dan Naib Pengerusi adalah Thant Sin Maung iaitu Menteri Pengangkutan dan Komunikasi Myanmar,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Manakala ADGSOM pula akan diadakan mulai 18-20 Jan, 2021, dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KKMM Datuk Seri Mohammad Mentek bersama-sama rakan sejawatnya dari negara anggota ASEAN.

Mano Verabathran turut memaklumkan kepada Bernama detik-detik bersejarah bagaimana idea penubuhan ADGMIN dan ADGSOM boleh tercetus dan menjadi realiti.

Pada asalnya, kedua-dua mesyuarat ini dinamakan sebagai Mesyuarat Menteri-Menteri Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat ASEAN (ASEAN TELMIN) dan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat ASEAN (ASEAN TELSOM).

“Idea penubuhan ASEAN TELMIN dan ASEAN TELSOM tercetus semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat, Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC TELMIN) di Cancun, Mexico pada 24-26 Mei, 2000.

“Hasil daripada perbincangan itu Mesyuarat ASEAN TELSOM yang pertama telah diadakan pada bulan Oktober 2000 di Brunei Darussalam sebagai persiapan kepada Mesyuarat ASEAN TELMIN yang diadakan buat julung kalinya pada 13 hingga 14 Julai 2001 di Kuala Lumpur,” katanya.

Tambahnya, kedua-dua mesyuarat ini diterima sebagai satu daripada badan ASEAN dan disokong penuh dalam urusan mesyuaratnya oleh Sekretariat ASEAN (ASEC), dengan persetujuan dicapai supaya Mesyuarat TELMIN dan TELSOM diadakan sekurang-kurangnya sekali setiap tahun berdasarkan pusingan giliran dalam kalangan negara anggota ASEAN.

“Pada TELMIN 19 di Vientiane, Laos, para menteri bersetuju agar TELMIN dinamakan semula sebagai ADGMIN. Hal ini adalah untuk menggambarkan peranan ICT sebagai pembolehubah transformasi digital untuk sektor lain serta untuk mengubah rantau ini menjadi ekonomi dan masyarakat yang didayakan secara digital.

“Sejajar dengan penamaan semula itu, Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan di bawah ADGMIN turut dinamakan semula sebagai ADGSOM,” jelasnya.

Menyedari kepentingan kepercayaan terhadap transaksi yang dilakukan secara elektronik adalah asas utama bagi menggalakkan masyarakat untuk mengadaptasi transformasi digital, Mano Verabathran berkata inisiatif Kerangka Tadbir Urus Data Digital ASEAN telah dibangunkan bagi merangka tatacara pentadbiran serta kaedah perpindahan data di antara negara anggota ASEAN.

Selain para menteri dan pegawai kanan dari negara anggota ASEAN, mesyuarat ini juga melibatkan penyertaan daripada Rakan-rakan Dialog ASEAN (Jepun, China, Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat, Korea Selatan, India serta International Telecommunication Union (ITU) sama ada di peringkat Menteri atau di peringkat Pegawai Kanan.

“Fokus mesyuarat pada kali ini menjurus kepada memantapkan jalinan kerjasama negara anggota ASEAN ke arah pembangunan ekosistem digital sebagai tunjang dalam rancangan pembangunan pasca COVID-19. Penekanan diberikan terhadap memperkukuhkan kepentingan pemusatan dan kesatuan dalam usaha membangunkan komuniti ASEAN dalam bidang keselamatan siber, perlindungan data peribadi, 5G, mempromosi inovasi dan e-dagang.

“Mesyuarat pada kali ini juga akan memberi tumpuan terhadap pembangunan rangkaian 5G di negara-negara ASEAN, serta bagaimana ia dapat diselaraskan agar manfaat daripada teknologi itu dapat dinikmati bersama, melalui projek Development of Policy Recommendations for 5G Ecosystem Development.

“Mesyuarat juga akan mengambil peluang untuk memperluaskan kerjasama dengan rakan-rakan Dialog ASEAN (Jepun, China, Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat, Korea Selatan, India serta International Telecommunication Union (ITU) dalam meningkatkan kebijakan ICT, mengembangkan sumber daya manusia, meneroka dan menjelajahi teknologi baharu dan meningkatkan kemampuan untuk menangani risiko di alam siber,” jelasnya.

Di samping itu, Mano Verabathran berkata Pelan Induk Digital ASEAN 2025 ataupun The ASEAN Digital Masterplan 2025 (ADM2025) dijangka dilancarkan pada ADGMIN1 kali ini.

Pelan Induk ini bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama Digital ASEAN dari 2021-2025 dalam merealisasikan visi ASEAN sebagai komuniti digital dan blok ekonomi terkemuka, dikuasakan oleh perkhidmatan, teknologi dan ekosistem digital yang selamat dan transformatif.

“Pelan Induk ini akan memandu pembangunan Sektor Digital ASEAN dalam tempoh lima tahun akan datang. Hasil yang dizahirkan meliputi usaha untuk mendukung transformasi digital bagi sektor-sektor tradisional, mewujudkan pasar digital yang adil dan kompetitif, membangun persekitaran digital yang aman dan dipercayai, mewujudkan warga digital yang celik terhadap teknologi digital, merealisasikan ASEAN sebagai ekosistem digital yang inklusif, lestari dan mudah dicapai serta untuk menjadikan ASEAN sebagai sebuah blok ekonomi digital yang kompetitif.

“Pelan induk itu akan dilancarkan untuk meneruskan usaha yang telah dilaksanakan daripada dua pelan induk terdahulu iaitu Pelan Induk ICT ASEAN 2015 (AIM 2015) dan Pelan Induk ICT ASEAN 2020 (AIM 2020) dalam mendorong ASEAN ke arah ekonomi digital yang aman, lestari, dan transformatif serta akan membolehkan Komuniti ASEAN berinovatif, inklusif dan bersepadu,” ujarnya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

<span>%d</span> bloggers like this: