Cetus idea buat nasi lemak rendang pucuk ubi


Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu susulan penularan pandemik Covid-19 menyebabkan golongan bekerja sendiri khususnya peniaga terpaksa mencari kaedah lain bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Situasi itu juga mencetuskan idea buat peniaga nasi lemak Hapiza Ibrahim, 50, yang mencipta kelainan dalam jualannya dengan memperkenalkan rendang pucuk ubi dalam hidangan nasi lemak yang kian menjadi pilihan bagi penduduk setempat.

Ibu kepada empat anak itu berkata dia mewarisi perniagaan ibunya yang menjual nasi lemak sejak 1970-an dan kini mempunyai sebuah kedai makan iaitu Kedai Uwan Ebot yang terletak di Kampung Chengkau Ulu, Kota, di sini.

“Perniagaan nasi lemak saya sebelum ini terjejas teruk sejak PKP dan semasa PKP juga saya ada buat rendang pucuk ubi dan rendang daging salai di rumah, jadi anak-anak beri idea untuk meletakkan kedua-dua menu itu dalam nasi lemak yang dijual.

“Alhamdulillah…saya tak sangka ia mendapat sambutan dalam kalangan penduduk setempat malah ia menjadi tular sehingga ada pelanggan dari Putrajaya dan Kuala Lumpur sanggup datang ke gerai ini semata-mata untuk merasai nasi lemak rendang pucuk ubi,” katanya.

Mengulas lanjut, Hapiza berkata proses penyediaan rendang pucuk ubi menggunakan resipi turun-temurun, yang menjadi hidangan tradisional Negeri Sembilan itu agak rumit kerana mengambil masa selama 12 jam dan memerlukan dua hari untuk menghasilkannya.

Jelasnya, dia menggunakan kaedah tradisional iaitu merebus pucuk ubi selama empat jam dengan kayu api bagi menghasilkan rasa lebih unik dan beraroma dan kemudian dimasak seperti biasa manakala proses terakhir adalah mengeringkan rendang pucuk ubi di atas dapur gas dengan menggunakan api kecil.

“Rasa rendang pucuk ubi yang unik dan aroma wangi inilah yang menjadi antara daya penarik sehingga ia mendapat permintaan tinggi oleh penggemarnya,” katanya.

Anak jati Negeri Sembilan itu berkata, sebanyak tujuh kilogram pucuk ubi digunakan untuk tempoh lima hari dan ia dijual setiap hari kecuali Khamis dan Jumaat bermula seawal 7 pagi hingga 2 petang.

Hapiza berkata selain nasi lemak rendang pucuk ubi, terdapat juga nasi lemak biasa, nasi lemak sambal petai, nasi lemak sambal paru, nasi lemak rendang daging salai, nasi lemak ‘3 in 1’ dan lempeng kelapa yang dijual di kedainya pada harga sekitar RM1.50 hingga RM7.

Ditanya mengenai perancangan masa depannya, Hapiza berkata dia merancang menyediakan khidmat penghantaran makanan bagi memudahkan pelanggan selain dapat mengelakkan aktiviti bersemuka ketika pandemik Covid-19 ini.

“Jadi pelanggan tidak perlu bersusah payah datang, selain dapat mencipta peluang baharu kepada penduduk tempatan menjadi ‘rider’ menghantar makanan khususnya dalam kalangan anak muda,” katanya.

Jelasnya, dia berhasrat menjadikan Kampung Chengkau Ulu antara satu daripada kawasan yang dikenali dalam menghasilkan nasi lemak rendang pucuk ubi.

“Jika Cameron Highlands popular dengan nasi lemak strawberi, Rembau pula memiliki nasi lemak rendang pucuk ubi yang sukar didapati di mana-mana restoran terutama untuk dinikmati ketika bersarapan,” katanya

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: